Najib saran laksana larangan rentas negeri 14 hari


DATUK Seri Najib Razak menyarankan kerajaan agar mempertimbangkan bagi melaksanakan larangan rentas negeri di Semenanjung selama 14 hari bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ini susulan peningkatan kes positif Covid-19 hari ini sebanyak 432 kes, sekali gus mencatatkan satu lagi rekod baharu sejak berlaku pandemik di negara ini Februari lalu.

Katanya, daripada 241 kes itu, 224 kes dilaporkan di Kedah iaitu Kluster Tembok melibatkan penjara Alor Setar yang telahpun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar.

“Begitu juga dengan Sabah, di mana kawasan hot-spot telah diletak di bawah PKPD. Namun, pada pendapat saya ada keperluan PKPD bersasar diperluaskan di sekitar Meru, Klang dan kawasan sekitar penjara Alor Setar.

“Mungkin juga ada keperluan untuk melaksanakan larangan rentas negeri di Semenanjung Malaysia sekurang-kurangnya 14 hari untuk mencegah penularan antara negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 432 kes baharu positif Covid-19 direkodkan dan jumlah keseluruhan kes di Malaysia adalah sebanyak 12,813 kes. -Malaysiapost